KUALA LUMPUR 5 Nov. — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengucapkan tahniah kepada Barack Obama atas pemilihan beliau sebagai presiden Amerika Syarikat, dan berkata beliau patut memberikan perhatian segera untuk menyelesaikan isu untuk membawa perubahan positif terhadap situasi di Iraq, Afghanistan, Iran dan Palestin.
“Semua ini adalah isu penting yang telah bersama kita untuk tempoh yang begitu lama dan kita lihat seolah-olah tiada sebarang penyelesaian langsung.
Saya yakin presiden AS mempunyai pengaruh besar dan saya berharap Obama akan menggunakan pengaruh positif ini untuk memastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Obama, 47, senator parti Demokrat dari Illinois, menewaskan lawannya dari parti Republikan, Senator John McCain dari Arizona, untuk menjadi presiden ke-44 Amerika Syarikat hari ini.
Abdullah berkata beliau pasti Obama akan mendapat sokongan masyarakat global yang sememangnya sentiasa menunggu isu itu diselesaikan sepenuhnya.
“Saya tahu ianya sukar untuk dilakukan tetapi saya fikir usaha baik akan dilakukan oleh Obama,” katanya dan menambah beliau berharap Obama juga akan menangani masalah daripada segi sikap dan pendekatan terhadap usaha menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi dunia sekarang.
Abdullah berkata masyarakat dunia juga berharap Obama, presiden warga Amerika berketurunan Afrika pertama Amerika Syarikat, akan bersikap adil dalam berurusan dengan pelbagai kumpulan termasuk orang Islam dan dunia Islam.
“Saya fikir ini amat penting. Saya pasti beliau tidak mahu bersikap berat sebelah kerana ini akan memberikan imej yang negatif terhadap beliau dan tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dunia sekarang. Mereka yang terlibat dalam mengusahakan perdamaian perlu bersikap adil dan tidak hanya menyokong satu pihak,” katanya.
Abdullah berkata beliau juga berharap Obama akan membawa perubahan positif dalam hal ehwal dunia kerana Amerika Syarikat mempunyai pengaruh besar dalam isu antarabangsa dan tatalaku hubungan antarabangsa.
Mengenai hubungan dua hala, Abdullah berkata beliau mengharapkan era baru bagi hubungan yang lebih mesra antara Malaysia dan Amerika Syarikat kerana Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada banyak aspek.
“Tetapi juga menjadi harapan kita yang hubungan sedia ada dikekalkan dengan asas saling menghormati antara negara berdaulat dan semua aspek berkaitan hubungan ditingkatkan lagi demi faedah bersama.
Ketika ditanya sama ada Malaysia akan turut melahirkan pemimpin negara tanpa mengira kaum seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, Abdullah berkata ia boleh terjadi di mana-mana sahaja.
“Ia bergantung kepada rakyat yang akan menentukannya. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat bukan ditentukan oleh Washington atau mana-mana kumpulan tetapi ditentukan rakyat Amerika sendiri dengan membuat pemilihan mengikut proses demokrasi dan amalan pemilihan yang telah wujud di Amerika dengan begitu lama,” katanya.
— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan