Glock yang memandu Toyota dipintas oleh Hamilton yang memandu McLaren pada selekoh terakhir perlumbaan itu untuk membolehkan pemandu Britain itu menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan muncul juara termuda F1 pada usia 23 tahun.
Glock merupakan satu-satunya pelumba di depan yang tidak mengubah ke tayar pertengahan selepas hujan membasahkan litar pada penghujung perlumbaan di Interlagos dan kehilangan kelajuan apabila keadaan litar bertambah buruk.
Hamilton ketika itu di tangga keenam apabila dia mendekati kereta Glock di selekoh terakhir dalam perlumbaan 71 pusingan dan dengan mudah memintasnya.
“Pusingan terakhir merupakan salah satu pusingan paling getir pernah saya harungi dalam F1 kerana tiada cengkaman langsung dan dengan tayar kering, ia hampir mustahil untuk mengekalkan kereta di litar,” kata Glock.
“Saya benar-benar memandu deras untuk mengekalkan tempat keempat dan jika anda lihat masa pusingan, saya sebenarnya lebih pantas daripada (rakan sepasukan Jarno Trulli) pada pusingan terakhir dan hanya dia satu-satunya pemandu kereta dengan tayar kering pada peringkat itu,” katanya.
Sebastian Vettel dari Toro Rosso berada di depan Hamilton juga memintas Glock.
Pemandu Jerman itu mempertahankan keputusan pasukan untuk kekal menggunakan tayar kering biarpun hujan.
“Kami berada tempat ketujuh sebelum hujan dan kami mungkin berkesudahan lebih baik di sana jika ia kering sepenuhnya. Sebaliknya, kami berkesudahan keenam jadi ia menunjukkan strategi itu tepat,” kata Glock.
Selepas Hamilton menduduki tempat kelima, pelumba pilihan tuan rumah, Felipe Massa kehilangan peluang untuk muncul juara F1 pertama dari Brazil sejak Ayrton Senna pada 1991.
Massa memenangi perlumbaan itu tetapi memerlukan Hamilton menduduki tempat keenam atau lebih bawah untuk memenangi gelaran.
“Saya tidak tahu pun bahawa Lewis berada di belakang saya. Saya juga tidak tahu bahawa Lewis telah memintas saya sehingga selepas perlumbaan. Saya dipintas oleh tiga atau empat kereta pada pusingan terakhir dan ia tidak mudah mengesan apa yang berlaku,” kata Glock.
Selepas perlumbaan, Glock diejek oleh beberapa peminat Brazil yang menyangka dia memperlahankan pemanduan dengan sengaja malah kebanyakan mereka kerap melaungkan kepadanya, “Berapa harganya? Berapa harganya?”
Dalam musim pertama dengan Toyota, Glock menduduki tempat ke-10 dalam kedudukan pemandu dengan 25 mata.
Pencapaian terbaiknya ialah tempat kedua di Grand Prix Hungary, Ogos lalu.
Rakan sepasukan Jarno Trulli menamatkan musim dengan 31 mata di tempat kesembilan.
– AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan